Bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz merancang untuk membina sebuah stadium di kawasan seluas 1.6 hektar bernilai sekitar RM10 juta di Sri Gombak, Selangor.

Perkembangan itu disahkan menerusi laporan dalam kosmo beberapa hari lepas.

Malah kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membantunya dan majlis pecah tanah sudah dilakukan pada 18 November tahun lepas yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Difahamkan stadium itu akan diberi nama Kompleks Sukan Mini Dato Subadron Aziz dan dibina atas tanah milik bekas pemain kebangsaan itu. Ia turut dilengkapi dengan beberapa infrastruktur seperti blok asrama, cafe dan gimnasium.

Buat permulaan, dua padang bola dan sebuah bangunan pentadbiran akan dibina yang menelan belanja kira-kira RM6 juta dan dijangka siap dalam masa dua tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Kompleks Sukan Mini Datuk Subadron Aziz di Taman Bukit Permata, Kampung Sungai Chinchin, Gombak pada 18 November 2022. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Objektif utama kompleks sukan mini ini dibina adalah untuk mencungkil bakat baharu bola sepak di kawasan gombak serta melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk negara.

“Dari data yang kita terima, gombak banyak melahirkan bakat bakat baru bolasepak tanah air. Oleh kerana itu, kami amat bersemangat untuk membina komplek sukan mini ini untuk dijadikan salah satu pusat pengeluar bakat bolasepak negara”, kata Subadron.

Projek ini dijalankan bersama Pertubuhan Pewaris anak anak Melayu Gombak (PEWARGA). Ia turut memberi faedah kepada masyarakat sekeliling dan membantu mereka untuk menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan baru kepada warga gombak.

Subadron kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan beliau masih memikirkan bagaimana mahu meneruskan pembinaan stadium tersebut selepas pulang ke tanah air.

“Saya tak pernah ke Tanah Suci walaupun banyak kali bermain bola sepak di Arab Saudi, Oman dan UAE.

“Salwa (isteri) dah empat kali pergi umrah dan saya tak ikut. Tetapi kali ini, bila dapat panggilan Tabung Haji, saya fikir kena juga pergi sebelum 60 tahun untuk meminta pelbagai perkara terutama mengenai pembinaan stadium tersebut,” katanya kepada kosmo.

Beliau juga mempunyai akademi bola sepak sendiri melatih ramai pemain muda yang berbakat.

Subadron Aziz ketika bergelar pemain bola sepak pernah mencatat sejarah menjulang trofi piala tertua di Asia Tenggara, Piala Malaysia sebanyak tiga kali pada tahun 1987 hingga tahun 1989 bersama pasukan Kuala Lumpur.